Putus Asa Adalah Tembok Berlin....Robohkan Ia....Kelak Kejayaan Akan Menyusul...

| 0 comments
]

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh……

Bertempat di Felda Residence Hot Spring Hotel semalam telah berlangsung Malam Apresiasi Pendidik, “Selangkah Tuju Puncak Kerjaya” khas buat abang-abang dan kakak-kakak di Semester Tujuh Program Pendidikan Sejarah. Program anjuran Persatuan Mahasiswa Sejarah ini merupakan acara wajib dalam kaledar taqwim PERMAS bagi merai dan merakamkan sekalung apresiasi buat abang-abang senior di semester akhir pengajian di kampus sebelum melangkah setapak lagi ke dunia pendidikan nasional.

Buat julung kalinya kita melakukan beberapa perubahan dalam aspek penganjuran program merangkumi pemilihan lokasi dan konsep penganjuran. Secara tradisi, kita menganjurkan majlis sebegini di Dewan Sri Tanjung berhampiran Dewan SITC UPSI. Namun, menjunjung semangat perubahan yang ingin diterapkan dalam corak kepimpinan baru PERMAS, kita memilih lokasi yang berbeza berbanding sebelum ini. Sebelum itu, timbul polemik dalam memilih lokasi untuk poenganjuran kali ini. Beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk dipilih sebagai tapak berlangsungnya majlis tradisi ini. Restoran Nelayan (Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur), Puncak Fraser Hill, Felda Residence Hot Springs (Sungkai, Perak) dan beberapa lokasi disekitar Shah Alam, Rawang dan Kuala Lumpur telah dipilih untuk dipilih.

Selepas dilakukan ‘survey’ bagi setiap lokasi yang tersenarai, maka pilihan terbaik adalah di Felda Residence Hot Springs, Sungkai, Perak. Pemilihan lokasi adalah berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan seperti kemampuan bajet kewangan, jarak perjalanan dan persetujuan semua pihak yang terlibat. Alhamdulillah, sesi pembentangan yang dilakukan di kelas Datin Dr. Kob Kua mendapat maklum balas positif daripada abang-abang dan kakak-kakak di semester Tujuh. Kesudian mereka untuk menerima perubahan dan cadangan daripada pihak kami amat memberangsangkan. Tiada bantahan dan pertikaian terhadap pemilihan lokasi, bayaran dan konsep yang ingin diketengahkan oleh jawatankuasa penganjur. Respon positif ini amat diperlukan memandangkan beberapa kekangan lain perlu diambil berat dan diselesaikan oleh jawatankuasa penganjur.

Kekangan masa merupakan antara cabaran terbesar yang perlu ditagani dengan sebaik mungkin. Memandangkan majlis akan berlangsung dalam tempoh seminggu dari tarikh mula gerak kerja, urusan pentadbiran perlu dilakukan dengan agresif dan komprehensif bagi mengelakkan masalah dalam penganjuran kali ini. Kelulusan kertas kerja, pengangkutan, makanan, lokasi, bajet kewangan dan lain-lain perlu dilangsaikan dalam tempoh seminggu sebelum berlangsungnya program. Berkat kesungguhan dan dedikasi daripada semua pihak, alhamdulillah asas program berjaya dibina dengan baik. Akhirnya, tanggal 24 Oktober 2009 menjelma dengan jayanya. Seramai 45 orang AJK dan hampir 70 orang pelajar Semester Tujuh berjaya dihimpunkan di Bangunan Bitarasiswa untuk bergerak ke Felda Residence Hot Springs, Sungkai, Perak.

Sebanyak tiga buah bas digunakan untuk mengangkut peserta dan barisan tenaga kerja program. Bas pertama yang membawa tenaga kerja program bergerak pada jam 10.30 pagi manakala dua buah bas yang membawa pelajar Semester Tujuh bergerak pada jam 2.30 petang. Sekali lagi syukur ke hadrat Ilahi apabila program pertama untuk abang-abang dan kakak-kakak di Semester Tujuh yakni aktiviti Treasure Hunt yang diketuai oleh YDP PERMAS (Eddy Safbree b. Salim) berjaya diselesaikan dengan baik dan meriah. Terima kasih buat abang-abang dan kakak-kakak atas kerjasama penuh dalam merealisasikan buah fikir AJK Sukan dan Rekreasi. Pelbagai ragam, keluhan, karakter dan gelak tawa dapat disaksikan apabila para peserta yang dirai berkejar sana berkejar sini untuk mencari ’checkpoint’ yang dirangka oleh pihak penganjur. Minum air ”istimewa”, lumur lumut ke muka, masak telur (menggunakan sumber air panas semulajadi), terjun ke kolam air panas dan banyak lagi merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap kumpulan. Paling penting, semuanya dilakukan dalam suasana harmoni diiringi hilai tawa yang menjustifikasikan satu simbol keakraban dan keharmonian warga PERMAS.

Jam 8.00 malam, majlis makan malam bagi meraikan abang-abang dan kakak-kakak disemester Tujuh siap sedia untuk dilangsungkan. Tema ’Fesyen Show’ menjadi pilihan para yang dirai, manakala dipihak penganjur pula tema’Tradisional Etnik’ menjadi pilihan bagi menambahkan lagi seri dan kemeriahan majlis. Jam 8.30 malam, abang-abang dan kakak-kakak semester Tujuh telah diarak ke Cafeteria diiringi barisan pensyarah Program Pendidikan Sejarah, ’hulubalang’ dan ’dayang-dayang’. Gimik tarian ngajat oleh saudara Liry Pahang Anyi menjadi acara pembuka majlis diikuti sesi ucapan selamat datang oleh Pengarah Program dan kemuncaknya perasmian majlis oleh Penyelaras Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan iaitu Encik Ahmad Zainudin. Seterusnya majlis dimeriahkan lagi dengan sesi penyampaian Anugerah PERMAS kepada tiga orang tokoh persatuan yang aktif dalam tiga bidang utama yakni Akademik, Sukan dan Pengurusan Persatuan. Tiga nama yang dujulang pada malam tersebut ialah saudara Abu Hanifah Bin Haris yang merupakan mantan YDP PERMAS (Anugerah Kecemerlangan Akademik), saudari Nurul Fiza Binti Barkhi yang juga mantan Exco Akademik dan Lawatan PERMAS (Anugerah Personaliti Sukan) dan Saudara Rasul Bin Ismail yang juga merupakan mantan Bendahari Permas (Anugerah Kepimpinan Tauladan).

Seterusnya, tayangan montaj koleksi kenangan pelajar Semester Tujuh sepanjang empat tahun di UPSI dan rakaman ucapan daripada pelajar semester Tujuh menggamit memori indah buat abang-abang dan kakak-kakak diikuti persembahan nyanyian daripada adik-adik daripada semester lima hingga satu merupakan antara manifestasi penghargaan buat abang-abang dan kakak-kakak sebelum meninggalkan alam kampus ini. Selepas itu, sesi bersalam-salaman bersama barisan pensyarah dan sesama mereka menjadi detik bermakna dalam hidup mereka sepanjang bergelar Mahasiswa Sejarah UPSI. Pelukan dan titisan air mata menjadi saksi keakraban mereka selama berada disini. Siapa sangka permulaan mereka di UPSI dengan tidak mengenali antara satu sama lain berakhir dengan pelukan dan tangisan umpama sahabat karib yang sudah berpuluh-puluh tahun hidup bersama. Demikianlah hikmah persaudaraan dan perhubungan perasaan yang diwujudkan oleh Yang Esa dalam diri setiap manusia. Benarlah kata-kata ilmuawan, nikmat akan kita rasai disaat kita kehilangannya. Sahabat adalah nikmat kurniaan tuhan buat kita semua. Sepanjang empat tahun mereka bersama, sudah tentu ada lidah yang tersasar tutur bicara, ada hati yang terluka dan ada emosi menjerat fikiran dan kata-kata. Namun, disaat kita akan berpisah, barulah kita sedar begitu banyak manisnya kita bersama. Lantaran itu, air matalah menjadi simbolik kita tidak rela untuk mengakhiri memori yang tercipta.

Akhirul kalam, selamat maju jaya buat abang-abang dan kakak-kakak di semester Tujuh. Seperti petikan kata Mahalma Gandhi pada malam itu, ”Jadilah anda sebagai agen untuk perubahan yang ingin dilihat”. Ubahlah nasib anak bangsa dan mentaliti masyarakat supaya keluar daripada kepompong jahiliah untuk diganti dengan unsur-unsur ilmiah. Kerna ilmulah yang mencelikkan akal manusia, maka gurulah insan berharga sebagai pembuka dan pemberi ilmu buat panduan umat manusia. Tidak lupa juga, sekalung apresiasi buat jemputan kehormat, En. Ahmad Zainiddun Husin, Penasihat PERMAS, En. Mohd Kamal Kamaruddin, cik Siti Zaharah Mahfood, Cik Rabaah, dan Wan Noorlizawati bt. Wan Mat Ali atas kesudian untuk menyerikan lagi majlis. Kepada semua barisan tenaga kerja Program “Malam Apresiasi Pendidik, Selangkah Tuju Puncak Kerjaya”, jutaan apresiasi buat dedikasi dan kesungguhan anda dalam membantu dan menjayakan majlis. Tidak lupa, jutaan kemaafan seandainya ada kekurangan, kedhaifan dan kelemahan saya menguruskan majlis bersama saudara Rustang bin Achok. Buat barisan Majlis Tertinggi PERMAS, jutaan apresiasi juga atas kepercayaan kalian kepada kami bagi menguruskan majlis. Terima kasih juga buat rakan-rakan yang terlibat disebalik tabir dalam membantu menjayakan program ini. Ingatlah, Helen Clark pernah berkata: ”the Largest Room In the World Is Improvement-self”.



Ahmad Baihaqi Bin Mohammad Yunus,
Pengarah Program,
“Malam Apresiasi Pendidik, Selangkah Tuju Puncak Kerjaya”
*Lihat Gambar di WWW.PERMASUPSI.BLOGSPOT.COM

0 comments

Post a Comment

Video Rasmi Mr. Diktator

Karya C' Diktator


Get your own Poll!
bT*xJmx*PTEyMjYyOTc2MDY1MTUmcHQ9MTIyNjI5Nzc5Mjc1MCZwPTUzMTUxJmQ9Jmc9MSZ*PSZvPWJhZGM4OGU5YTlkMTQyNjI5YzhlZTJlY2VlYTg1MWZk.gifbT*xJmx*PTEyMjYyOTY3NDY4NzUmcHQ9MTIyNjI5Njc5NTEwOSZwPTUzMTUxJmQ9Jmc9MSZ*PSZvPWJhZGM4OGU5YTlkMTQyNjI5YzhlZTJlY2VlYTg1MWZk.gif
xslide1.gif xslide2.gif xslide42.gif
xslide1.gif xslide2.gif xslide42.gif
tracking.php?id=916865 Ce service est offert par bloguez.com : Pour la création de

pilihan blogger

ubat tidurrr....zzzz