Putus Asa Adalah Tembok Berlin....Robohkan Ia....Kelak Kejayaan Akan Menyusul...

| 0 comments
]


Assalamualaikum w.b.t. aku baru jejakkan kaki ke bilik. Malam ini aku terasa puas, lega dan seronok dek perjalanan latihan Debat Royal sebentar tadi.

Mengapa aku terasa puas, lega dan seronok?

Pertamanya, semangat dan perasaan aku untuk berdebat semakin lama semakin hilang dek kecelaruan menggila akhir-akhir ini. Diakui masalah yang melanda sedikit sebanyak merencatkan perancangan, semangat dan idea aku untuk menghidupkan kembali keluarga istimewa aku di UPSI ini.

Lumrah alam, perjalanan hidup kita didunia ini akan ada pasang surut, turun naiknya. Begitu juga dengan keluargaku ini. Ada masa kita gembira, ketawa dan bergurau senda bersama. Ada masa kita menangis, merengus dan bertekak sesama kita. Itulah lumrah kehidupan sebagai ciptaan bernama manusia.

Hakikatnya, keluargaku ini sedang berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan dek beberapa masalah yang melanda. Sedang kita berdepan dengan ujian dan cabaran ini, realitinya kita semua sedaya upaya mencari punca untuk kita berpaut kembali.

Kita meraba-raba mencari penyelesaian terhadap musibah yang melanda. Itulah realitinya dalam perhubungan kita semua. Mungkin perkara ini tidak dizahirkan secara realiti, namun hakikatnya, kita semua mahu mengembalikan saat-saat indah yang pernah kita lalui bersama seterusnya merungkai kecelaruan ini.

Secara peribadi, aku cuba untuk membawa perubahan dalam keluarga ini. Perubahan yang aku cuba ketengahkan bukanlah berpasakkan kepentingan peribadi mahupun kebencian dendam kesumat. Tetapi hanyalah berfokus buat kebaikan bersama.

Benar, dalam perhubungan kita mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza tatkala merangka strategi untuk perubahan. Namun, matlamatnya tetap sama yakni kebaikan bersama. Tetapi, lain yang dikhayal, lain pula yang tersiar. Secara peribadi, aku mula menghampiri takat berputus asa dalam memperkasakan keluarga ini.

Jika bukan kerna semangat, kenangan dan perhubungan kita sebelumnya, mahu saja aku luputkan hubungan aku dengan keluarga ini. Ingin saja aku coretkan ceretera dan drama baru dalam kerangka dan saluran keluarga lain. Tetapi aku tidak dapat menolak, keluarga ini sukar untuk dicari ganti. Terlalu istimewa untuk dibuang ketepi.

Alhamdulillah, malam ini aku terasa puas, , lega dan seronok dek perjalanan latihan Debat Royal sebentar tadi. Sudah lama aku impikan senario tadi. Kita hadir ke latihan dengan santai, relaks dan seronok. Kita balik dengan kepuasan bersama. Paling utama, pertemuan kita membuahkan hasil buat kebaikan bersama. Bukan sekadar pelengkap jadual ataupun syarat latihan sahaja.

Sudah lama aku fikirkan, disaat persaingan kian sengit. Kita masih berada ditahap yang sama. Sedangkan pesaing lain sudah memecut kedepan kita masih lagi merangkak mencari rentak dan hala tuju.

Aku tertarik dengan perkembangan sukan Formula One. Jika dulu, dominasi Ferrari dan Mclaren sukar diganggu gugat. Kini, pasukan yang dulunya picisan seperti Toro Rosso, Red Bull, Brawn GP dan Toyota sudah mampu memintas jaguh-jaguh regular seperti Ferrari dan Mclaren. Buktinya, Jenson Button telah menjuarai Formula One musim ini dengan jenama Brawn GP. Pasukan yang dulunya dikenali dengan jenama Honda, bergelut dan dianggap pelengkap senarai pasukan bersaing kini muncul kuasa baru F1.

Mudahnya, semuanya tidak akan berlaku jika tidak ada usaha dan strategi berkesan untuk bersaing dengan jagoan-jagoan hebat. Mereka tidak takut. Tetapi paling penting, kejayaan Button dan Honda itu berlaku dek keberkesanan strategi, pengurusan yang mantap dan semangat juang yang tinggi. Maka, wajarlah mereka meraih kejutan dan momentum kejuaraan dek usaha sebegini.

Mudahnya, persaingan kini kian sengit, terbuka dan sukar diduga dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Kita perlu merangka strategi dan melakukan transformasi efektif bagi mengekalkan persaingan ini. Jika kita tidak ada usaha dan inisiatif untuk berubah dan perkasa, maka kita akan menempah kegagalan berterusan. Kita tidak boleh bergantung kepada kekuatan dan kerangka lama. Kita perlu merangka strategi dan pendekatan baru tatkala kita menyedari cara, teknik latihan dan kerangka perjuangan lama tidak membawa kemajuan yang diingini dan diimpikan.

Sebentar tadi, berlangsungnya latihan yang aku kira tidaklah gah mahupun kompleks tetapi cukup berguna seandainya kita manfaatkan bersama. Seronok dan puas rasanya, jika kita mampu melakukan perubahan dan kemajuan walaupun dalam tempoh masa yang singkat. Paling utama, adik-adik junior sekalian. Aku pernah merangkak dan meraba-raba mencari dan memahami kerangka perjuangan ini.

Lama rasanya untuk aku memahami apa yang diajarkan oleh sifu-sifu sebelumnya. Maka, aku mahu membantu memudahkan pencarian anda. Sekiranya usaha dhaifku ini mampu menyumbang kejutan kalian di pentas Royal nanti, sudah cukup menyeronokkan aku.

Aku percaya dengan kemampuan kita semua. Sekalipun kita berjuang tanpa ada apa-apa yang boleh dibanggakan, itu bukanlah petanda kita tidak boleh berdiri sama tinggi, duduk sama setara dengan jagoan-jagoan hebat yang lain. Buktikan kita mampu melakukannya.

Aku harapkan suasana, semangat dan kemahuan sebentar tadi terus memayungi perjuangan kita. Tiada guna kita habiskan masa, tenaga dan wang ringgit disini atas nama latihan sedangkan hasil dan unjurannya tidak ada perubahan berbanding sebelumnya. Jadikanlah tempoh yang ada ini sebagai tempoh yang sangat bermanfaat dan membantu dalam usaha kita membina arah dan cita-cita bersama.

Aku sukakan suasana sebentar tadi. Semangat, keseronokan dan kemahuan itu perlu dikekalkan. Tidak perlu sempurna, tetapi cukuplah ianya berlaku secara berterusan. Aku penat dan mahu tidur. Katanya, esok perlu bangun awal. Cari stamina!!!....ngeh3….

Kata Helen Clark: The Largest Room In The World Is Improvement-self (Ruang Paling Luas Di Dunia Adalah Ruang Untuk Memperbaiki Diri Sendiri)

0 comments

Post a Comment

Video Rasmi Mr. Diktator

Karya C' Diktator


Get your own Poll!
bT*xJmx*PTEyMjYyOTc2MDY1MTUmcHQ9MTIyNjI5Nzc5Mjc1MCZwPTUzMTUxJmQ9Jmc9MSZ*PSZvPWJhZGM4OGU5YTlkMTQyNjI5YzhlZTJlY2VlYTg1MWZk.gifbT*xJmx*PTEyMjYyOTY3NDY4NzUmcHQ9MTIyNjI5Njc5NTEwOSZwPTUzMTUxJmQ9Jmc9MSZ*PSZvPWJhZGM4OGU5YTlkMTQyNjI5YzhlZTJlY2VlYTg1MWZk.gif
xslide1.gif xslide2.gif xslide42.gif
xslide1.gif xslide2.gif xslide42.gif
tracking.php?id=916865 Ce service est offert par bloguez.com : Pour la création de

pilihan blogger

ubat tidurrr....zzzz